Search

PENGUMUMAN PROJEK RUMAH MESRA SMJ BUKTI KESUNGGUHAN KERAJAAN GRS-BN

April 23, 2022

admin

KOTA KINABALU: Pengumuman mewujudkan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dilihat suatu bukti kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan masalah perumahan rakyat di Sabah dapat di atasi dari semasa ke semasa.

Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, masalah perumahan rakyat adalah antara isu yang dekat dengan keadaan rakyat setempat dan Kerajaan GRS-BN akan berusaha untuk meletakkan agenda perumahan sebagai agenda perjuangan utama.

“Kita nampak masalah ini (perumahan rakyat) sebagai satu masalah yang dekat dengan rakyat dan inilah agenda perjuangan Kerajaan GRS-BN.

“Rumah Mesra SMJ adalah dana dari geran khas Kerajaan Persekutuan berjumlah RM 125.6 juta.

“Dengan matlamat untuk menyelesaikan masalah ini, kerajaan negeri sekaligus peka dan sentiasa melihat keperluan serta kehendak rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor ketika menghadiri sebuah majlis berbuka puasa pada Rabu mengumumkan kerajaan negeri bakal melaksanakan projek Rumah Mesra SMJ di sebanyak 1,500 unit di semua 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri secara sama rata.

Projek berkenaan adalah antara inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya kerajaan negeri bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan membolehkan rakyat mendapat akses kepada kediaman mampu milik.

Rumah Mesra SMJ merupakan projek dahulunya yang dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan lebihan dana peruntukan keseluruhan bagi projek itu akan digunakan untuk membaiki jalan, jambatan gantung dan infrastruktur lain serta kerosakan harta benda akibat banjir.

Dalam pada itu, Khairul Firdaus yang juga Ketua Bahagian Bersatu Batu Sapi turut menegaskan usaha berterusan pucuk pimpinan kerajaan GRS-BN dalam fokus mencapai hala tuju Sabah Maju Jaya adalah terbukti dan tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak. – Info X