Search

Kes kematian dibaham buaya terima manfaat insurans percuma kerajaan negeri

June 28, 2025

Info X Reporters

PUTATAN: Tiga kes, masing-masing satu kematian dibaham buaya dan dua kes kematian akibat kemalangan jalan raya sudah mendapat manfaat daripada perlindungan insurans percuma yang disediakan kerajaan negeri sejak 1 Mei lalu.

Perkembangan itu dikongsikan Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun ketika menjelaskan inisiatif kerajaan negeri menyediakan perlindungan insurans kemalangan percuma kepada semua rakyat Sabah.

Beliau berkata, waris simati bagi ketiga-tiga kes itu membuat tuntutan dan sudah dibayar selepas didapati layak menerima manfaat yang ditawarkan skim insurans percuma berkenaan.

“Tiga orang yang meninggal dunia atau keluarga dia sudah menuntut, dua mati eksiden jalan raya, satu lagi meninggal dunia dibaham buaya. Layak dan sudah dbayar, berapa lama?

“Kalau dokumen tiga-tiga semua teratur, di antara 10 hari hingga 30 hari. Inilah inisiatif untuk rakyat,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Masidi yang juga Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, berkata masih ramai tidak faham mengenai perlindungan insurans percuma yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada November tahun lalu.

“Bagaimana ia beroperasi? Pertama, perlindungan insurans ini adalah perlindungan insurans kemalangan, Siapa yang layak? Rakyat sabah yang berumur di antara 30 hari sehingga 80 tahun.

“Jadi, asal berumur satu bulan hingga 80 tahun, automatik ada perlindungan. Tidak payah pohon, selagi orang Sabah, kita hanya perlu tiga dokumen apabila menuntut.

“Satu, laporan polis menyatakan bahawa kemalangan itu berpunca daripada kejadian ataupun kematian ataupun kecederaan itu berpunca daripada kemalangan.

“Kedua, pengesahan daripada doktor bahawa kecederaan termasuk kematian itu berpunca daripada kemalangan tersebut.

“Ketiga, IC (kad pengenalan) untuk memastikan kita adalah rakyat negeri sabah. Di mana untuk tuntut, adakah di Putatan, seluruh Sabah.

“Bukan itu saja, di seluruh dunia pun, insyaAllah ia berkuat kuasa. Kalau kita pergi ke luar negara, tiba-tiba terjadi kejadian, kita tetap dilindungi oleh insuran tersebut,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah yang pertama dalam sejarah Sabah kerana belum ada yang pernah melaksanakannya sebelum ini.

Katanya, inisiatif itu mengambil kira situasi di Sabah yang masih ramai miskin.

“Apabila terjadi apa-apa kepada suami, anak masih kecil, isteri belum melahirkan, dia hilang tempat bergantung, susu anak pun tidak ada.

“Kerana itu, di bawah skim insurans ini, apabila saya kata, palis-palis kematian kemudian berlaku, secara automatik, dia boleh menuntut RM10,000, termasuk RM500 pampasan untuk kos pengkebumian.

“Kalau tidak mati macam mana? Boleh, tapi tidak sampai RM10,000, mengikut kepada bentuk kecederaan yang dialami,” katanya.

Sebelum ini, Masidi mengumumkan pemberian insurans berkelompok ditawarkan menerusi Progressive Insurance Bhd secara percuma kepada kira-kira 3.5 juta penduduk Sabah berusia antara satu bulan hingga 80 tahun.

Sebagai permulaan, katanya skim perlindungan percuma itu adalah untuk tempoh tiga tahun mulai 1 Mei 2025 sehingga 30 April 2028. – Info X