TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas memukul dan mengugut isterinya dengan senjata tajam dalam kejadian di Kampung Haji Matahir, di sini, semalam.
Suspek warga tempatan berusia 44 tahun ditahan polis dari Balai Polis Bombalai selepas isterinya membuat laporan berkenaan kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan itu, pasukan polis mengesan suspek di sekitar kampung berkenaan.
Katanya, suspek terbabit cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan dengan anggota polis.
“Polis turut merampas sebilah kapak dan pisau yang disyaki digunakan oleh suspek dalam kejadian berkenaan.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara pasangan suami isteri itu sebelum suspek bertindak ganas hingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Bombalai untuk siasatan lanjut.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
“Orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan kekerasan bagi menyelesaikan isu atau konflik rumah tangga,” katanya. – Info X