KOTA KINABALU: Enam lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) didakwa terbabit rasuah yang dikaitkan dengan aktiviti perlombongan mineral di negeri ini.
Memetik pendedahan terbaharu Malaysiakini, portal itu mendakwa menerima maklumat yang mengaitkan ADUN dari dua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Mereka terdiri daripada pemimpin tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Malaysiakini mendedahkan, Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan dua timbalannya, Datuk Ellron Alfred Angin serta Datuk Robert Tawik; pemangku Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam, Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim didakwa terbabit dalam skandal berkenaan.
Portal itu mendakwa menerima maklumat berdasarkan tangkap layar paparan rakaman video membabitkan pemimpin terbabit daripada sumber yang enggan didedahkan.
Mereka dikatakan terbabit dalam urusan berunsur rasuah dengan jumlah keseluruhan RM3.96 juta dan sumber didakwa mempunyai bukti mesej Whatsapp dan dokumen lain yang menyokong transaksi, selain video.
Sebelum ini, Malaysiakini mendedahkan seramai sembilan individu, masing-masing lapan ADUN, manakala seorang lagi Speaker DUN, terbabit dalam dakwaan rasuah dikaitkan dengan isu pengeluaran lesen cari gali mineral.
Dua ADUN sudah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dibebaskan dengan jaminan pada 18 dan 23 Jun lalu dan akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Isnin ini.
Seorang lagi individu dikenal pasti sebagai pemberi maklumat dikenali Albert Tei turut akan didakwa. – Info X