LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan kebun kelapa sawit, Ulu Segangan, Silabukan, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 23 tahun ditemui dengan kesan luka di bahagian belakang badannya dipercayai akibat senjata tajam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.
“Hasil siasatan di lokasi, pasukan serbuan mengesan dan menahan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 29 tahun.
“Kedua-dua suspek dipercayai suami isteri ditahan pada hari yang sama bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, bedah siasat ke atas mayat mangsa akan dijalankan di Hospital Lahad Datu.
“Siasatan masih dijalankan termasuk mengenal pasti motif kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – Info X