Search

Christina dilantik Penasihat PKR Sabah

June 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew dilantik sebagai penasihat PKR Sabah.

Pelantikan bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api itu diumumkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.

Ketika sidang media selepas Mesyuarat Pertama MPN Sabah bagi sesi 2025-2028 di Inanam pada Ahad, Mustapha turut mengumumkan Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdul Rahman Yakub sebagai penasihat kedua PKR Sabah.

Terdahulu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar mengumumkan barisan ahli baharu MPN Sabah yang diketuainya selepas dilantik semula sebagai Pengerusi PKR Sabah bagi sesi 2025-2028.

Beliau dibantu Timbalan Pengerusi MPN Sabah, Datuk Peto Galim selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN) PKR Sabah dan tiga Naib Pengerusi, iaitu Datuk Sangkar Rasam, Azmi Datu Tambuyung dan Mohd Amin Mem.

Selain itu, kepemimpinan baharu PKR Sabah menyaksikan Ketua Wanita yang baharu, Datin Rufinah Pangeran, manakala jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah kekal disandang Zaidi Jatil.

Mustapha turut mengumumkan pelantikan Setiausaha PKR Sabah yang baharu, Abdul Razak Jamil yang juga Pengerusi Bersama JPRN; Bendahari, Stefly Said dan Ketua Penerangan, Ahmad Farid Sainuri.

Turut dilantik ialah Ketua AMK Pensiangan, Mohd Guntur Sangkar sebagai Pengarah Komunikasi; Ketua Cabang PKR Api-Api, Grace Lee sebagai Setiausaha Pengelola dan bekas Ahli Parlimen Putatan, Ag Husaini Ag Sahari sebagai Ahli Biro Politik. – Info X