Search

Jeffrey nafi terima rasuah RM1.78 juta

June 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menafikan dakwaan laporan Malaysiakini yang menuduhnya menerima RM1.78 juta dikaitkan dengan skandal perlombongan mineral.

Beliau dengan tegas menyatakan bahawa tuduhan itu sama sekali tidak berasas, selain satu serangan bermotif politik yang direka untuk menggugat kestabilan, memburuk dan menghancurkan kerajaan Sabah sedia ada.

Timbalan Ketua Menteri itu menekankan bahawa beliau tidak pernah sama sekali menerima sebarang dana yang berkaitan dengan permohonan perlombongan atau terbabit dalam skandal yang didakwa portal berkenaan.

“Tuduhan tersebut adalah rekaan yang disengajakan, diatur oleh politikus terdesak yang berusaha untuk memberikan pengaruh tidak wajar ke atas politik Sabah, satu taktik bersejarah yang digunakan sejak tahun 1960-an.

“Parti STAR menafikan sebarang penglibatan dalam aktiviti perlombongan dan menjelaskan bahawa ia tidak pernah memohon sebarang lesen perlombongan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri itu berkata, sebagai penyokong Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA), STAR berpendapat bahawa perlombongan tidak serasi dengan prinsip pemuliharaan.

Jeffrey berkata beliau dan ahli STAR akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan mereka dengan memberikan kenyataan terperinci.

Beliau turut mengutuk cubaan media untuk membicarakan kes itu melalui pendapat umum dan bukannya mengikut saluran undang-undang yang betul.

“Inilah harga yang perlu dibayar untuk memperjuangkan hak-hak Sabah,” katanya.

Jelasnya, kenyataan terdahulu yang dibuat oleh pemberi maklumat sudah membersihkan STAR dan PBS daripada sebarang salah laku atau penerimaan dana rasuah.

Katanya, beliau memandang serius tuduhan palsu, selain berniat jahat itu dan akan menimbangkan untuk menggunakan semua saluran undang-undang, termasuk terhadap Malaysiakini kerana laporan yang disifatkannya tidak bertanggungjawab.

“Kita menjangkakan lebih banyak dakwaan palsu dan fitnah akan keluar dari mulut Malaysiakini dan manipulator politik lain.

“Dijangkakan akan banyak fitnah dan tuduhan akan keluar menjelang pilihan raya.

“Tidak hairan kumpulan-kumpulan dan parti-parti tertentu akan berpesta dengan harapan berita palsu ini akan mengubah percaturan dan landskap politk di Sabah,” katanya. – Info X