KINABATANGAN: Misteri kehilangan seorang lelaki yang terjun ke dalam Sungai Kinabatangan akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui terapung, malam tadi.
Mayat Mohd Zulkarnain Yusop, 42, ditemui oleh orang awam kira-kira 1.5 kilometer dari Jeti Kampung Bilit pada jam 9.45 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba Hairi Utoh, pihaknya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah pencarian permukaan air sejauh tiga kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjun.
“Mayat mangsa ditemui orang awam dan pasukan bomba segera ke lokasi bagi mengangkat serta menyerahkannya kepada pihak polis.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.40 malam selepas memastikan tiada lagi risiko di kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Operasi itu turut disertai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beberapa penduduk kampung.
Terdahulu, mangsa dilaporkan terjun ke sungai pada jam 6 petang, Sabtu lalu, namun gagal timbul semula, menyebabkan orang awam segera menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan mencari dan menyelamat. – Info X