KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan permohonan lesen cari gali mineral dan penerimaan sebarang bentuk dana berkaitan kegiatan itu.
Pembantu Menteri Kerja Raya negeri itu menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai fitnah bermotifkan politik menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang semakin hampir.
“Tuduhan ini tidak berasas dan berniat jahat. Ia cubaan terdesak untuk memburukkan imej saya serta mencalar reputasi kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Robert yang juga Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan.
“Sebagai pemimpin, saya tetap komited dan fokus untuk menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat. Saya tidak akan terpengaruh atau terganggu dengan serangan politik tidak beretika ini,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya tidak menjadikan fitnah sebagai alat politik, sebaliknya berpolitik secara matang dan bertanggungjawab demi kepentingan Sabah secara keseluruhan.
Robert adalah antara tiga pemimpin tertinggi STAR yang didakwa menerima habuan skandal perlombongan di Sabah, berdasarkan laporan terbaharu portal berita Malaysiakini.
Dua pemimpin STAR yang turut didakwa terbabit ialah Presidennya yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan seorang lagi Timbalan Presiden yang juga Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Ellron Angin. – Info X