Search

Lelaki hilang selepas lawat ibu di Beluran

July 2, 2025

Info X Reporters

BELURAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai tidak pulang ke rumahnya di Kampung Asuan, Telupid, sejak seminggu lalu selepas melawat ibunya di Kampung Sinaputan, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada Balai Polis Beluran pada jam 10.19 pagi tadi.

Katanya, maklumat awal mendapati mangsa, Mansius Yahsu, 39, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar berjalan kaki melawat ibunya pada 24 Jun lalu.

“Adik mangsa memaklumkan bahawa abangnya tidak pulang ke rumah sehingga ke hari ini, menyebabkan ahli keluarga bimbang dan membuat laporan polis.

“Berikutan itu, pasukan bomba digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Edoen berkata, seramai tiga anggota dan pegawai bersama sebuah jentera pacuan empat roda digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi SAR

“Setakat ini, belum ada tanda mangsa ditemui dan operasi pencarian masih diteruskan. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X