KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan memulakan siasatan terhadap seorang individu yang dipercayai sebagai pembiaya kewangan di sebalik skandal rasuah perlombongan mineral Sabah.
Pembabitan taikun perniagaan dari Singapura itu didedahkan sebuah portal dalam laporan terbaharu berhubung skandal berkenaan, termasuk berkaitan individu lain yang didakwa turut terbabit, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didedahkan sebelum ini.
Menurut sumber, SPRM memulakan siasatan selepas merujuk kepada artikel terbabit yang antara lain mendakwa taikun syarikat Singapura itu dikatakan menjadi pembiaya skandal rasuah membabitkan Datuk Albert Tei dan pemimpin UMNO Sabah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu dan menyatakan SPRM akan memanggil saksi berkaitan untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Sementara itu, portal Malaysia Corporate mendedahkan siasatan kes skandal rasuah perlombongan dijangka beralih kepada pemimpin UMNO Sabah yang didakwa turut terbabit dalam kes berkenaan.
Berdasarkan portal itu, seramai lima pemimpin UMNO Sabah didakwa terbabit menerima dana daripada taikun dari Singapura itu yang bekerjasama dengan ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei, orang bertanggungjawab menyebarkan rakaman klip video dakwaan rasuah ADUN sebelum ini.
ADUN yang didedahkan sebelum ini hanya membabitkan pemimpin dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), khususnya dari Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), sebelum disusuli pendedahan dakwaan pembabitan pemimpin tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR). – Info X