TAWAU: Dua individu, masing-masing penjawat awam dan pesara kerajaan negeri mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan cuba memperoleh rasuah berkaitan permohonan dan bancian tanah kerajaan, tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Smith A Lewas @ Simon, 56, dan Lusiwoi Kisa, 62, masing-masing membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Jason Juga selepas dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Tawau, di sini, hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, Smith yang ketika itu bertugas sebagai Juruteknik Gred J17 di Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah Kunak, didakwa cuba mendapatkan wang tunai RM54,000 daripada seorang lelaki, Goefle Joseph, 39.
Perbuatan itu sebagai dorongan untuk memproses permohonan tanah baharu membabitkan 27 peserta Skim Pekebun-Pekebun Kecil Madai Baturong (SPPKMB), Kunak, di sebuah studio di Kunak, kira-kira jam 8 malam pada Mei 2016.
Sementara itu, Lusiwoi yang ketika kejadian bertugas sebagai Pembantu Tadbir N17 di Bahagian Penguatkuasa Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah, didakwa cuba mendapatkan wang tunai RM12,000 daripada Cornilius Jomol @ Terence, 71.
Jumlah itu sebagai ganjaran untuk menjalankan bancian tanah membabitkan kumpulan Cornilius dan 16 peserta lain, walaupun tiada lagi lot tanah untuk dibanci di bawah skim yang sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar bandar Lahad Datu pada Jun 2016.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifee, manakala tertuduh masing-masing diwakili peguam Vivien Thien dan Jhassery P Kang.
Mahkamah membenarkan Smith diikat jamin RM10,000 manakala Lusiwoi sebanyak RM6,000, masing-masing dengan seorang penjamin tempatan.
Kedua-dua tertuduh turut diperintah supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan, selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu setiap dua bulan sekali.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 September depan. – Info X