KOTA KINABALU: Seorang pengurus kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM16,000.
Suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
Menurut sumber, suspek ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja di bawah syarikatnya sendiri.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu sekitar 2024 dan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM16,000.
“Suspek dipercayai telah menerima suapan secara transaksi pindahan ke akaun bank miliknya secara berperingkat sebagai balasan untuk mendapatkan kerja-kerja membaik pulih di bawah GLC berkenaan di sekitar negeri ini,” kata sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Katanya, kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, esok bagi permohonan reman,” katanya. – Info X