KOTA KINABALU: Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang sepatutnya diadakan pada 30 Jun lalu ditangguhkan ke pertengahan Julai ini.
Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata mesyuarat itu dijadualkan semula pada 14 atau 15 Julai berdasarkan permintaan ahli jawatankuasa berkenaan.
Katanya, andaian mengatakan mesyuarat itu gagal adalah tidak tepat, sebaliknya kerajaan negeri menawarkan ia diadakan di Sabah pada 30 Jun lalu, sebelum tarikh berkenaan ditukar.
“Ketua Menteri sebenarnya ada menghantar dua surat pada Jun lalu, bukan saja untuk mengingatkan jawatankuasa, malah menawarkan Sabah sebagai tuan rumah mesyuarat.
“Bagaimanapun, ada permintaan untuk menukar tarikh itu. Mungkin pada 14 atau 15 Julai jika saya tidak silap.
“Jadi, adalah tidak tepat mengatakan kita berdiam diri atau melupakan mesyuarat itu. Ada surat, tapi pada tarikh itu (30 Jun) Timbalan Perdana Menteri tidak dapat datang, jadi kena tukar tarikhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis makan malam SMJ Energy Sdn Bhd, di sini, malam tadi.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata mesyuarat itu akan membincangkan isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Katanya, mesyuarat itu akan menumpukan sepenuhnya kepada hak hasil Sabah, yang dilihat sebagai isu paling penting setelah sekian lama tiada kata putus.
Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan dianggotai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick selaku wakil dari Sabah, selain pemimpin kerajaan Sabah dan wakil dari Sarawak. – Info X