Search

SEWA KHAS DUA HELIKOPTER, HANTAR GURU-GURU KEMBALI BERTUGAS

May 9, 2022

admin

NABAWAN: Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup, hari ini, menyewa khas dua buah helikopter bagi menghantar lapan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pangaraan serta sekitar Mukim Tatalaan untuk kembali bertugas sempena pembukaan semula sesi persekolahan esok.

Arthur berkata, inisiatif berkenaan bertujuan agar semua guru yang mengajar di kawasan berkenaan boleh kembali ke sekolah masing-masing tanpa melalui jalan dan sungai di kawasan itu.

“Saya sekarang berada di lapangan terbang Keningau untuk menghantar balik guru-guru yang akan kembali bertugas di SK Pangaraan dan sekitar Mukim Tatalaan, Nabawan.

“Saya telah menyewa dua buah helikopter khas untuk lapan orang guru untuk balik ke kawasan tersebut tanpa melalui jalan dan sungai yang terputus akibat bencana banjir luar biasa yang berlaku di kawasan terbabit, baru-baru ini.

“Kebiasaannya perjalanan ke kawasan itu mengambil masa tiga hingga enam jam bergantung kepada keadaan cuaca.

“Namun banjir yang luar biasa baru-baru ini mengakibatkan infrastruktur yang menghubungkan kawasan itu rosak mengakibatkan mereka lperlu berjalan kaki.

“Seperti mana yang sudah diumumkan, peruntukan kecemasan telah diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk pembaikan infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir.

“Pegawai-pegawai teknikal juga sudah membuat lawatan tapak ke lokasi-lokasi yang berkaitan dan setakat ini pembinaan jambatan gantung untuk SK Nangkawangan dan SK Layon telah dimulakan beberapa hari lalu,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Arthur yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menyatakan pihaknya menjangkakan semua kerja-kerja pembaikan yang lain akan menyusul dalam masa terdekat.

“Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran tetapi kita akan usahakan sebaiknya untuk menyegarakan segala kerja pembaikan yang diperlukan,” katanya. – Info X