Search

Guru maut ditetak abang kandung

July 6, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Seorang guru wanita maut dipercayai dibunuh dengan kejam oleh abang kandungnya yang mengalami masalah mental dalam kejadian di Kampung Tenghilan, Tamparuli, semalam.

Mangsa berusia 41 tahun ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di belakang rumah keluarganya, dengan kecederaan parah di bahagian leher dan kepala.

Kedua-dua matanya turut didapati cedera teruk, dipercayai akibat senjata tajam, sebelum kejadian dimaklumkan kepada pihak polis oleh ahli keluarga.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, suspek yang juga abang mangsa ditahan tidak lama kemudian di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin.

“Suspek berusia 47 tahun ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran pada hari yang sama bagi membantu siasatan.

“Suspek dipercayai mengalami masalah mental dan pernah menjalani rawatan susulan di fasiliti kesihatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk motif kejadian itu.

Noraidin (kiri) bersama pegawai polis melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian di Kampung Tenghilan, Tamparuli.

“Bedah siasat ke atas mayat mangsa telah dijalankan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, Noraidin berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

“Jika mempunyai sebarang maklumat, orang ramai diminta menghubungi Hotline Polis Tuaran di talian 088-794313 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya. – Info X