KINABATANGAN: Seorang lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika memancing di sungai berhampiran Ladang Tomanggong, Sukau, di sini, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Mare Miri, 39, dipercayai dibaham buaya ketika memancing di sungai bersama empat rakannya.
Rakaman video seekor buaya yang muncul di lokasi kejadian turut tular, apabila reptilia itu ditemui oleh rakan mangsa ketika mereka melakukan pencarian di kawasan mangsa dilaporkan hilang.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Yus Pg Pinsin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Sukau pada jam 1.14 tengah hari.
“Sepasukan anggota bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda segera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 55 kilometer dari balai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, sehingga kini mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan.
“Operasi turut dibantu sepasukan anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Beliau berkata, maklumat lanjut dan perkembangan terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X