KOTA MARUDU: Kerajaan negeri menimbangkan cadangan untuk menaik taraf Daerah Kecil Matunggong kepada sebuah daerah penuh.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata cadangan itu bagaimanapun tertakluk kepada kajian kelayakan yang dilaksanakan pihak berwajib.
“Kerajaan mendengar aspirasi rakyat Matunggong dan akan meneliti aspek keperluan serta kesediaan infrastruktur sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Kebudayaan Rungus Sabah 2025 di Pusat Kebudayaan Rungus Sabah, Jalan Teringai, di sini, pada Ahad.
Ketika ini Matunggong masih bertaraf daerah kecil di bawah daerah Kudat.
Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri komited melestarikan khazanah budaya etnik di Sabah yang kaya dengan warisan seni dan adat resam yang unik serta bernilai tinggi.
Katanya, usaha memulihara budaya pelbagai etnik penting untuk memastikan identiti negeri terus dipertahankan dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
“Kerajaan negeri akan terus menyokong dan membantu pertubuhan etnik dalam usaha menjaga hal ehwal adat istiadat, seni dan budaya masing-masing.

“Budaya bukan sekadar khazanah sejarah tetapi juga aset pembangunan yang perlu dipertahankan,” katanya.
Ketua Menteri berkata, budaya dan warisan etnik seperti masyarakat Rungus bukan sekadar nilai tradisi, malah aset penting perpaduan dan daya tarikan pelancongan.
Katanya, ia juga menyemai semangat jati diri dan kebanggaan dalam kalangan generasi muda.
Hajiji turut menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Banyak usaha telah dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan GRS demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri Sabah.
“Kita ada pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang jelas, yang memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh dan pembelaan nasib rakyat,” katanya.
Beliau berkata, kestabilan politik dan sokongan berterusan daripada rakyat amat penting bagi memastikan segala dasar, program dan inisiatif kerajaan dapat diteruskan tanpa gangguan demi kemajuan negeri dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
“Jangan kita undur ke belakang. Teruslah bersama kerajaan GRS yang telah membuktikan komitmen dan kemampuan membela rakyat serta membangunkan negeri secara inklusif,” katanya.
Hajiji memuji usaha Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PRBS) yang terus menganjurkan Festival Kebudayaan Rungus secara konsisten sebagai platform memperkenal dan mempromosi budaya suku kaum Rungus. – Info X