SANDAKAN: Cubaan menyeludup minyak diesel ke negara jiran menggunakan bot nelayan sebagai helah mengaburi pihak berkuasa gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di laut Pulau Berhala, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, pasukan rondaan PPM Sandakan mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot nelayan sebelum menahannya untuk pemeriksaan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pemeriksaan lanjut menemui lapan tangki fiber mengandungi 7,000 minyak diesel disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran.
“Turut ditahan, seorang juragan warga tempatan berusia 54 tahun dipercayai dalang kegiatan penyeludupan itu.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM367,050 termasuk bot, diesel dan peralatan berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu mengangkut barang kawalan tanpa permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu cubaan menyeleweng barang kawalan.
“PPM Wilayah 4 akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya. – Info X