BEAUFORT: Tindakan tiga lelaki disyaki pengedar dadah memecut kereta secara melulu sehingga hampir merempuh anggota polis ketika diarahkan berhenti dalam satu serbuan, memaksa pihak berkuasa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan dinaiki mereka.
Kejadian berlaku jam 4.15 pagi, Jumaat lalu di Jalan Membakut, ketika Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menjalankan ‘Ops Gempur’ berdasarkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di daerah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, sebaik kereta jenis Proton Waja yang dinaiki tiga lelaki dipintas, pegawai operasi memperkenalkan diri sebagai polis dan melaungkan perkataan ‘polis’.

“Namun, pemandu kereta terbabit bertindak agresif dengan meluru ke hadapan, hampir merempuh pasukan serbuan.
“Bagi mempertahankan diri, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar hadapan kanan kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Susulan insiden itu, beliau berkata berlaku aksi kejar-mengejar sebelum kereta suspek berjaya dipintas di tepi Jalan Pan Borneo berhampiran Kampung Lumat.
“Tiga suspek cuba melarikan diri ke kawasan semak namun dua berjaya diberkas manakala seorang lagi masih bebas. Dua suspek yang ditahan berusia 29 dan 18 tahun.
“Siasatan lanjut membawa kepada penemuan kotak rokok mengandungi 51.28 gram syabu bernilai RM3,800, yang disimpan dalam poket seluar salah seorang suspek,” katanya.
Menurutnya, pasukan operasi turut merampas sebuah kereta Proton Waja, kunci kenderaan dan telefon bimbit bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati salah seorang suspek memiliki empat rekod lampau berkaitan dadah, manakala rakannya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Kedua-dua mereka kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya sedang mengesan seorang lagi suspek yang melarikan diri termasuk mengenal pasti sumber bekalan dadah diperoleh kumpulan berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang masih bebas diminta tampil membantu siasatan,” katanya. – Info X