Search

Akta CCUS 2025 bukti perlunya Sabah, Sarawak diterajui parti tempatan

July 5, 2025

Info X Reporters

TENOM: Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 yang diluluskan di Parlimen pada Mac lalu menjadi bukti pentingnya hubungan Sabah-Putrajaya sebagai antara kerajaan dan bukannya intra parti.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata akta itu pada awalnya digubal untuk seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya ia kemudian hanya dikuatkuasakan untuk Semenanjung dan Labuan selepas mengambil kira pandangan kerajaan Sabah dan Sarawak.

Katanya, pandangan disuarakan kerajaan diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) di negeri jiran itu dan GRS di Sabah membuktikan pentingnya hubungan Pusat dengan negeri bersifat antara kerajaan.

“Pada peringkat awal perancangan pemakaian RUU CCUS adalah untuk seluruh Malaysia. Namun, Kabinet Persekutuan bersetuju supaya RUU itu dipinda kepada pemakaian hanya untuk Semenanjung dan Labuan setelah mendengar pandangan Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui GRS dan Kerajaan Negeri Sarawak yang diterajui GPS.

“Perkara ini juga berlaku disebabkan Kerajaan Persekutuan diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang amat komited berpegang kepada pengiktirafan kedudukan khas Sabah dan Sarawak sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Melalap, di sini, pada Sabtu.

Ahli Parlimen Papar itu, berkata teras kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlulah datangnya daripada parti yang berbeza bagi memastikan hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah berbentuk antara kerajaan dan bukannya intra parti.

Jelasnya, bentuk hubungan itulah yang mendasari hubungan di antara teras Kerajaan Persekutuan pada hari ini iaitu Pakatan Harapan (PH) atau parti nasional dan teras Kerajaan Negeri iaitu GRS atau parti tempatan.

Katanya, hubungan itu bukan bermakna Sabah menolak parti nasional, malah hakikatnya Kerajaan Negeri Sabah juga dianggotai Ahli Jemaah Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PH.

Armizan menjelaskan kepentingan parti tempatan menerajui kerajaan negeri bagi mengekalkan hubungan antara kerajaan dengan Persekutuan.

“Namun, penting untuk dipastikan teras kepada Kerajaan Negeri adalah parti lokal untuk memastikan kepentingan negeri menjadi agenda paling utama.

“Ini untuk memastikan agenda yang melibatkan kepentingan negeri tersebut akan sentiasa dibincangkan dalam struktur antara dua peringkat Kerajaan (inter-governmental) dan tidak dirundingkan dalam struktur dalaman parti (intra-party) terlebih dahulu,” katanya.

Beliau menjelaskan penggubalan Akta CCUS 2025 berbeza dengan penggubalan Akta Laut Wilayah 2012 yang disokong dan diluluskan bersama oleh Ahli Parlimen dari Sabah pada masa itu.

“Hari ini ada pemimpin dan parti tertentu yang tiba-tiba lantang berbicara tentang hak negeri termasuk mempertikaikan Akta Laut Wilayah (TSA) 2012 sebagai modal politik.

“Akta ini membataskan kuasa negeri kepada perairan hanya tiga batu nautika sahaja dan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan GRS terus menegaskan bahawa ia tidak terpakai kepada Sabah kerana tidak diluluskan oleh DUN Sabah.

“Ada kalangan yang mempertikai ini merupakan Ahli Parlimen dan ada yang berstatus Menteri Persekutuan pada tahun 2012. Saya fikir mereka perlu jelaskan kenapa hanya bangkitkan hari ini.

“Mengapa mereka tidak mempertikaikan apabila RUU Laut Wilayah dibentangkan dalam Jemaah Menteri dan di Parlimen pada tahun 2012 sehingga ia lulus sebagai Akta Parlimen.

“Ini adalah ‘rekod’ parti dan ‘pemimpin’ yang tidak boleh dipadamkan dari sejarah,” katanya.

Armizan berkata, beliau melihat semua itu berlaku kerana dua faktor, iaitu pertama, perbezaan teras kedua-dua peringkat Kerajaan di antara tahun 2012 dan 2025.

“Pada 2012 kedua-dua peringkat kerajaan bukan sahaja diterajui, malah didominasi oleh sebuah parti nasional yang sama.

“Berbeza pada tahun 2025 teras Kerajaan Negeri adalah parti lokal dan teras kepada Kerajaan Persekutuan adalah parti nasional.

“Kedua, hampir keseluruhan Ahli Parlimen Sabah pada tahun 2012 berada dalam parti atau gabungan parti nasional, maka mereka terikat dengan keputusan gabungan parti nasional yang menentukan pendirian pengundian di parlimen,” katanya. – Info X