TUARAN: Seorang lelaki maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan ketika sedang melintas jalan di Jalan Tuaran – Kota Kinabalu, Kampung Bakut, di sini, semalam.
Mangsa berusia 39 tahun parah di bahagian kepala, patah tangan kiri serta mengalami luka di seluruh badan akibat dirempuh oleh kenderaan yang belum dikenal pasti.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tuaran, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa sedang melintas jalan sebelum dilanggar kenderaan yang melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Setakat ini, beberapa individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan yang dijalankan.
“Polis juga sedang giat mengesan pemandu yang melarikan diri dari lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan berkenaan boleh menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, Inspektor Haffiz di talian 011-61600964 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan berhemah ketika di jalan raya,” katanya. – Info X