TAWAU: Kegiatan licik seorang lelaki yang dipercayai menjadi ejen perjudian dalam talian terbongkar selepas pondok di kawasan Tanah Merah, Batu 2, Jalan Apas, Tawau diserbu polis, semalam.
Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau itu hasil maklumat orang awam yang disalurkan menerusi aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP).
Difahamkan, hasil risikan membawa kepada tangkapan suspek warga tempatan berusia 30-an dan rampasan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian termasuk sejumlah wang tunai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti perjudian atau jenayah lain menerusi saluran rasmi seperti aplikasi VSP.
Kerjasama orang awam amat penting dalam membanteras kegiatan haram yang bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga memberi kesan buruk kepada masyarakat.
Aktiviti perjudian boleh menyumbang kepada masalah kewangan, keruntuhan institusi keluarga dan peningkatan jenayah lain seperti penipuan serta keganasan. – Info X