KOTA KINABALU: Isu pelaburan syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd menghangatkan suasana Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin.
Ia berikutan pertikaman lidah di antara Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong dari Warisan.
Insiden bermula ketika Jin Zhe (PH – Luyang) menjawab soalan lisan Datuk Jannie Lasimbang (PH-Kapayan) mengenai perkembangan terkini pelaburan Esteel dan soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan – Senallang).
Jin Zhe meluahkan kemarahannya terhadap Calvin yang sebelum ini membuat laporan polis mengenai Esteel tetapi tidak mengemukakan soalan untuk bertanya mengenai projek itu pada Persidangan DUN.
Tindakan itu menyebabkan Calvin bangun menempelak Jin Zhe sebelum kedua-duanya bertikam lidah selama beberapa minit.
Suasana hangat hanya reda selepas Speaker, Datuk Kadzim M Yahya mematikan pembesar suara kedua-dua mereka dan beralih ke soalan lisan seterusnya.
Terdahulu, menjawab soalan Jannie, Jin Zhe berkata syarikat itu melaksanakan langkah strategik dengan meningkatkan jumlah pelaburan dan memperluas kapasiti operasi di negeri ini sebagai bukti keyakinan berterusan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi di Sabah.
“Keyakinan tersebut dizahirkan melalui pemeteraian Perjanjian Penyewaan Tanah bagi pembangunan Fasa 2 dan Fasa 3 di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) pada 31 Disember 2024.
“Komitmen ini diperkukuh lagi dengan pembayaran deposit sebanyak RM35 juta yang dibuat sebagai langkah awal bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pelaburan tersebut.
“Berikutan penerimaan Lesen Pengilangan (FML) pada penghujung bulan Januari 2025, syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd telah melaksanakan langkah susulan secara proaktif dan teratur untuk memastikan kelangsungan pelaksanaan pelaburan pihaknya di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
“Pada bulan Februari 2025, Esteel telah memeterai Perjanjian Bekalan Gas Asli bersama Sabah Energy Corporation (SEC) dan PETRONAS, yang berperanan penting dalam memastikan bekalan gas asli dan sumber tenaga yang stabil dan mencukupi untuk menyokong kelangsungan operasi kilang pembuatan keluli hijau syarikat ini di SOGIP.
“Langkah ini sekali gus mengukuhkan jaminan keperluan utiliti asas yang diperlukan bagi menjayakan keseluruhan pelaksanaan pelaburan berimpak tinggi tersebut,” katanya.
Katanya, setelah selesai proses reka bentuk semula bagi menampung skala operasi yang diperluaskan, Esteel kemudiannya menumpukan perhatian sepenuhnya pada Mac dan April 2025 untuk melaksanakan proses pembidaan kontraktor secara telus dan kompetitif bagi pembinaan jeti persendirian.
Hasil daripada usaha ini, Esteel telah memeterai Kontrak Pembinaan Jeti Fasa 1 dengan China Communications Construction Company (CCCC) pada 30 Mei 2025, iaitu pada tarikh yang sama dengan Majlis Pelancaran Rasmi Projek Pelaburan Fasa 1 syarikat tersebut yang telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri.
“Langkah ini sekali gus menjadi penanda aras penting yang memacu pelaksanaan fasa penyediaan infrastruktur sokongan bagi merealisasikan pelaburan strategik berimpak tinggi ini.
“Pada masa yang sama, beberapa kemajuan penting lain turut telah dicapai bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan untuk memulakan kerja-kerja pembinaan secara menyeluruh dan teratur,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya sentiasa komited untuk terus menyelaras dan memudah cara pelaksanaan pelaburan agar pengoperasian kilang dapat dipercepatkan, seterusnya merancakkan pertumbuhan sektor pembuatan di Negeri Sabah serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. – Info X