KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mendakwa 40 peratus projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan kerajaan gagal disiapkan.
Beliau mendakwa, masalah itu banyak dikesan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau, selain di Lamag yang diwakilinya dan DUN Karambunai.
Dakwanya, disebabkan terbengkalai ada pegawai dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) ditangkap dan disiasat berhubung masalah berkenaan.
Berikutan itu, beliau meminta supaya perkara itu disiasat termasuk siapa penerima rumah berkenaan bagi memastikan ketelusan.
“Di DUN Sukau memang banyak, di Karambunai pun ada. Seperti saya kata tadi, secara keseluruhan mungkin 40 peratus projek rumah itu tidak siap, sebab itu kita minta siasat.
“Kita mahu tahu juga siapa penerimanya kerana saya dapat maklumat hanya ‘kerabat’ saja yang dapat, jadi ini sesuatu yang tidak baik,” katanya ketika membahaskan Perbekalan Tambahan 2025 pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.
Ketua UMNO Sabah itu, berkata jika kerajaan negeri benar-benar melaksanakan tata kelola yang baik, masalah seperti itu dapat dielak.
Beliau yang juga Pengerusi BN Sabah turut mempersoalkan ke mana duit untuk membiayai projek itu jika rumah yang dilaksanakan tidak siap.
Dalam hal itu, katanya kerajaan negeri perlu memikirkan bagaimana untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat, tanpa mengharapkan pihak swasta.
“Jika serah kepada swasta, rumah yang dibina hanya menjadi rumah mampu lihat, harganya ada RM400,000 dan RM500,000,” katanya.
Dalam satu lagi isu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut mempersoalkan rasional kerajaan negeri terus menyambung khidmat Setiausaha Kerajaan Negeri sekarang, Datuk Seri Safar Untong.
Katanya, kerajaan negeri wajar memberi peluang kepada pegawai lain untuk menjawat jawatan berkenaan sebagai dorongan untuk memberi khidmat lebih baik.
“Adakah beliau (Safar) lebih hebat daripada Bill Gate, apakah yang lain tidak layak menggantikannya. Sebagai kerajaan yang mengamalkan tata kelola yang baik perkara seperti ini patut dielak.
“Ini kerana ia boleh melemahkan perkhidmatan pegawai lain kerana buat apa kerja baik sedangkan jawatan SKN tetap disambung,” katanya.
Dalam perbahasannya, Bung Moktar turut menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang sudah semakin hampir.
“Tempoh kerajaan sekarang akan habis pada Oktober dan mungkin juga awal bubar. Tapi, kita (UMNO-BN) lawan tetap lawan,” katanya. – Info X