Search

Sidang DUN: Politik Sabah stabil, pengurusan kewangan baik – Dr Yusof

July 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perbekalan atau belanjawan tambahan 2025 berjumlah RM1.18 bilion yang dibentangkan ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin disifatkan sebagai manfestasi kestabilan politik dan pengurusan kewangan negeri yang baik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, belanjawan tambahan negeri itu diperlukan bagi menampung pembayaran mendesak khususnya yang melibatkan kemudahan dan infrastruktur untuk kesejahteraan rakyat.

“Saya menyokong Bajet Tambahan Negeri ini diluluskan, disebabkan yang akan menerima manfaatnya adalah rakyat dan pembangunan negeri ini serta menampung kos bencana alam.

“Kerajaan Negeri juga mempunyai kewangan yang kukuh untuk dibelanjakan kepada rakyat menerusi rizab berjumlah RM8.6 bilion.

“Buat apa kita menyimpan dan laungkan kita (Kerajaan negeri) banyak rizab ini..sebaliknya kita serah kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan RUU Perbekalan Tambahan (2025) yang dibentangkan Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun ketika Persidangan DUN, pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Yusof berkata di bawah bajet tambahan itu, kementerian menerusi jabatan dan agensi masing-masing perlu membelanjakan dengan cepat, khususnya untuk bantuan bencana alam.

Katanya, bajet tambahan negeri perlu diguna untuk kes-kes kecemasan bencana alam dan disalur ke Pejabat Daerah supaya dapat diagihkan dengan cepat.

Justeru itu, beliau mahu kementerian yang berkaitan memantau pengagihan bajet tambahan di jabatan dan agensi di bawah mereka supaya ia dibelanjakan dengan cepat untuk manfaat rakyat.

Dr Yusof turut meminta agar diwujudkan sebuah Pusat Maklumat Pelancong di Sipitang sejajar statusnya yang menjadi daerah persinggahan kepada pengunjung dan pelancong dari Sarawak dan Negara Brunei Darussalam.

Beliau berkata, bangunan Pejabat Daerah Lama di Pekan Sipitang dicadangkan untuk dijadikan Pusat Maklumat Pelancongan Sipitang dengan mengekalkan struktur asal.

Pada masa sama, beliau juga meminta Dewan Serbaguna Pekan Sipitang dinaik taraf untuk kemudahan penduduk Sipitang.

Menurutnya, dewan tersebut yang menjadi dewan utama di Pekan Sipitang untuk majlis kerajaan, keramaian, perkahwinan dan sukan tidak memadai berikutan kapasitinya yang kecil.

“Sudah sampai masanya dewan ini dinaik taraf atau dibina sebuah dewan serbaguna yang baharu sejajar dengan pertambahan penduduk Sipitang dengan adanya Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP),” katanya. – Info X