Search

Sidang DUN: Belanjawan tambahan demi rakyat, bukan atas kepentingan politik – Amisah

July 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Penyata Tambahan Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2025 bukan untuk kepentingan politik tetapi satu keperluan mendesak demi kesejahteraan rakyat.

Perkara itu ditegaskan ADUN Dilantik, Datuk Amisah Yassin, ketika membahaskan usul berkenaan ketikaPersidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Isnin.

Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap penyata tambahan berjumlah RM1.18 bilion itu, sambil menegaskan langkah itu mencerminkan kepekaan dan keprihatinan kerajaan negeri dalam menangani keperluan semasa rakyat, terutama di kawasan luar bandar.

“Ini bukan bajet untuk gaji atau perjalanan luar negara tetapi untuk jalan raya, air, sekolah, rumah ibadah dan keperluan asas rakyat. Rakyat akan menilai siapa yang bersama mereka dan siapa yang hanya berpolitik,” katanya.

Amisah berkata walaupun RM6.28 bilion telah diperuntukkan melalui bajet asal 2025, lonjakan kos bahan binaan dan keperluan pembangunan yang mendadak memerlukan suntikan tambahan.

Beliau menyambut baik peruntukan besar kepada Jabatan Air Sabah (RM109 juta) bagi menyelesaikan isu air di Ranau, Pitas, Tongod dan daerah lain yang telah lama menghadapi masalah.

Antara kementerian lain yang menerima tambahan ialah Jabatan Ketua Menteri (RM40 juta) untuk pengurusan risiko dan pemantauan projek, Kementerian Belia dan Sukan (RM11 juta), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (RM16.01 juta), serta Kementerian Pembangunan Masyarakat (RM4.9 juta) bagi membantu golongan rentan seperti OKU dan ibu tunggal.

Amisah turut memuji pendekatan kerajaan yang lebih inklusif dengan memberi perhatian kepada daerah terpencil seperti Tongod, Nabawan, Pitas, Beluran dan Telupid.

“Kerajaan tidak duduk diam. Ia bertindak segera dan mendengar suara luar bandar. Kita mahu pembangunan seimbang, bukan hanya tertumpu di bandar,” katanya lagi.

Beliau juga mencadangkan supaya aspek pemantauan dan pelaksanaan diberi perhatian serius agar peruntukan benar-benar sampai kepada rakyat. – Info X