Search

PRN17: Rakyat sudah buat keputusan siapa pilihan mereka – Salleh

July 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah sudah membuat keputusan siapa yang akan dipilih menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), kata bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, rakyat menilai mana pemimpin yang sentiasa turun padang dan siapa yang baru muncul untuk memanaskan suhu politik negeri ini berikutan tidak lama lagi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan.

“Ketika ini suhu politik di Sabah semakin meningkat dengan semua parti dan pemimpin mula bergerak aktif bertemu rakyat, menganjurkan program dan mengeluarkan pelbagai kenyataan.

“Ini perkara lumrah menjelang pilihan raya. Namun realitinya, ramai rakyat sudah pun membuat keputusan.

“Mereka tahu siapa yang sentiasa turun padang, siapa yang hanya muncul ketika hampir pilihan raya dan siapa yang benar-benar memahami denyut nadi kehidupan harian mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu berkata, dalam sistem politik berasaskan parti, parti yang sudah lama bertapak lazimnya mempunyai sokongan yang setia, terbina melalui pengalaman, khidmat dan kepercayaan.

Jelasnya, kesetiaan itu bukan sesuatu yang mudah digoyahkan dengan janji atau sentimen jangka pendek.

“Seperti seseorang yang sudah biasa minum Coke, bukan mudah baginya untuk menerima Pepsi. Dalam politik juga begitu, kesetiaan bukan sekadar soal jenama tetapi soal kepercayaan yang telah dibina,” katanya.

Beliau berpandangan, medan sebenar pertempuran kini tertumpu kepada pengundi muda dan pengundi atas pagar.

Golongan itu, katanya tidak terikat dengan mana-mana parti tetapi mereka peka terhadap isu, prestasi dan persekitaran semasa.

“Untuk mendekati mereka, parti politik mesti membawa mesej yang jelas, menangani isu kehidupan sebenar dan menawarkan visi masa depan yang boleh diyakini, bukan sekadar slogan atau pengumuman yang bersifat sementara.

“Masa depan Sabah tidak boleh disandarkan kepada retorik semata-mata. Ia memerlukan kepimpinan yang stabil, dasar yang mantap dan komitmen yang ikhlas untuk berkhidmat, bukan hanya ketika musim pilihan raya,” katanya.

Salleh berkata, Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal tiba adalah saat untuk semua pihak, sama ada parti ataupun rakyat membuat penilaian yang matang dan memperbaharui tekad untuk membina Sabah yang lebih stabil, adil dan makmur.

Sementara itu, katanya kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, semalam, mengenai pembubaran DUN tidak lama lagi bukan satu kejutan.

Bendahari UMNO Sabah itu berkata, ia berikutan tempoh DUN sekarang sudah hampir tamat dan pilihan raya mesti diadakan pada tahun ini.

“Ketua Menteri Sabah telah mengumumkan bahawa Dewan Undangan Negeri akan dibubarkan tidak lama lagi. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana penggal semasa hampir tamat dan pilihan raya mesti diadakan tahun ini mengikut peruntukan undang-undang.

“Dalam sistem demokrasi, pembubaran DUN adalah proses biasa, ia menandakan tamatnya satu penggal dan memberi ruang kepada rakyat untuk membuat penilaian serta memperbaharui mandat. Kuasa kini dikembalikan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Hajiji mengesahkan persidangan DUN selama dua hari yang berakhir semalam adalah yang terakhir bagi penggal ini, sebelum ia dibubarkan tidak lama lagi, namun beliau enggan mendedahkan bila tarikh pembubaran itu.

Jika tidak dibubarkan dalam masa terdekat, DUN Sabah akan terbubar sendiri pada 11 November depan setelah genap tempoh lima tahun bermula dari tarikh persidangan pertama DUN Ke-16 yang diadakan pada 12 November 2020. – Info X