Search

Eksplorasi Mutiara Cluster berdasarkan peluang sumber ditemui (DRO), tanpa jaminan kejayaan – SMJ Energy

July 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: SMJ Energy Sdn Bhd tampil menjelaskan ketidakterlibatannya dalam bidaan eksplorasi Mutiara Cluster di perairan Sandakan selepas perkara itu dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Selasa lalu.

Menerusi satu kenyataan, syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri itu menjelaskan bahawa prospek eksplorasi Mutiara Cluster adalah peluang sumber yang ditemui atau Discovered Resource Opportunities (DRO).

Katanya, ia bermaksud bahawa kluster berkenaan memerlukan kerja eksplorasi yang meluas dan penilaian pembangunan dengan pelaburan yang besar tanpa sebarang jaminan kejayaan.

“Oleh itu prospek ini bukan satu keutamaan bagi SMJ Energy pada masa ini. Apa yang penting di bawah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA), SMJ Energy ada hak untuk mendapatkan aset DRO daripada PETRONAS apabila prospek sudah berjaya dibangunkan,” katanya.

Kenyataan itu menjelaskan, SMJ Energy mengelak risiko pelaburan eksplorasi yang besar dengan mendapatkan hak ‘free carry’ atau ‘back-in’.

Jelasnya, hak itu bermaksud SMJ Energy hanya akan menimbangkan penyertaan selepas eksplorasi berjaya bagi mengelak membayar perbelanjaan eksplorasi yang besar dan tiada risiko jika eksplorasi yang mahal itu gagal.

Setakat ini, katanya SMJ Energy mempunyai hak ‘free carry’ dan ‘back-in) di SB409 (20%), SB403
(20%), SB306A (7.5%) dan SB306B (7.5%).

“Pendekatan keseluruhan menjelaskan pengurusan risiko strategik SMJ Energy bertanggungjawab untuk meningkatkan portfolio minyak dan gas yang seimbang dan menguntungkan di huluan minyak dan gas, LNG dan Petchem dengan mengambil kira keutamaan kewangan negeri secara meluas,” katanya.

SMJ Energy, katanya menjangkakan akan mengumumkan lebih banyak pembangunan strategik dan pemerolehan sejajar dengan strategi berkenaan.

Kenyataan itu menegaskan, menerusi SMJ Energy, keutamaan kerajaan negeri ialah untuk mendapatkan perkongsian hasil yang besar dan suara yang kuat serta penyertaan dalam pembangunan minyak dan gas di Sabah melalui CCA yang ditandatangani dengan PETRONAS sebelum ini.

Sejak penubuhannya, SMJ Energy kini berkembang menjadi sebuah syarikat bernilai RM5 bilion dengan kepentingan yang signifikan dalam aset utama.

“Ia memegang 50 peratus ekuiti dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang, 10 peratus dalam LNG9 dan 25 peratus dalam Loji Petrokimia SAMUR.

“Ini adalah aset pengeluaran yang menguntungkan untuk menjana aliran tunai yang kukuh,” kata kenyataan itu.

Jelasnya, sebagai syarikat pemula yang muda, SMJ Energy mengisytiharkan dividen RM160 juta dalam masa kurang tiga tahun.

Kenyataan itu menyebut, minyak dan gas adalah satu pelaburan dan perniagaan yang berisiko tinggi yang mana kegagalan eksplorasi boleh menyebabkan kerugian sehingga ratusan juta, malah bilion ringgit.

“Memandangkan sumber kewangan negeri dan keutamaan peruntukan yang bersaing, strategi SMJ Energy adalah untuk bertindak sebagai pelabur kewangan yang berhemat, memberi tumpuan kepada pemerolehan yang menguntungkan, menghasilkan aset yang menjana aliran tunai yang kukuh dan dikendalikan oleh pengendali yang bereputasi dengan
rekod prestasi Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (ESG) yang sudah terbukti,” katanya. – Info X