KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat meminta semua peniaga mempamerkan tanda harga bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.
Presidennya, David Chan berkata, mempamerkan tanda harga adalah perkara penting yang harus dititikberatkan peniaga apabila memulakan operasi perniagaan untuk memudahkan pengguna membuat perbandingan harga sebelum membuat pembelian.
“Peniaga tidak sepatutnya membiarkan barangan yang disusun atau dijual tanpa sebarang tanda harga kerana pengguna perlu tahu harga bagi setiap barangan.
“Langkah berkenaan juga bagi mengelakkan berlaku kekeliruan apabila pengguna membuat pembayaran di kaunter,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, David turut menggesa pihak Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membuat pemantauan berkala yang lebih kerap bagi memastikan masalah peniaga yang tidak mempamerkan tanda harga dapat diatasi.
“KPDNHEP perlu pantau dengan lebih kerap kerana peniaga ada kadangkalanya lalai dan menganggap mempamerkan tanda harga sebagai suatu perkara yang tidak penting.
“Pengguna sudah lama menyuarakan masalah ini dan sehingga kini, masalah sama masih berlaku.
“Peniaga perlu sentiasa peka dan jangan bersikap terlalu mengejar keuntungan tanpa memikirkan hak dan masalah dari sudut pengguna.
“Peniaga dan pengguna perlu sama-sama saling mendapat manfaat dan menyokong satu sama lain kerana peniaga memerlukan pengguna untuk memberi dari mereka dan begitu juga dengan pengguna yang memerlukan peniaga untuk memberi barang keperluan harian,” katanya. – Info X