Search

Sewa kondo mewah, sorok lebih 20 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai hampir RM1 juta

July 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Taktik seorang lelaki menyewa dua unit kondominium mewah dengan sewaan mencecah ribuan ringgit sebulan untuk dijadikan stor simpanan dan lokasi pengedaran dadah akhirnya terbongkar selepas diserbu polis.

Dua kondominium yang disewa suspek yang terletak di Jalan Haji Saman dan Jesselton, dipercayai dijadikan ‘markas rahsia’ untuk menyimpan bekalan dadah jenis syabu, ketamin dan pil ekstasi yang disasarkan bagi pasaran dalam dan luar negara.

Namun taktik ‘port selamat’ itu tidak bertahan lama apabila polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menyerbu salah satu unit terbabit pada 4 Julai lalu kira-kira jam 7.45 malam, sebelum menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang disyaki dalang utama sindiket berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pemeriksaan lanjut di dalam bilik kondominium berkenaan menemui satu beg yang mengandungi plastik lutsinar disyaki berisi syabu seberat 790.56 gram.

Datuk Jauteh Dikun.

Katanya, turut ditemui ialah mesin mengira wang, alat penimbang digital dan peralatan membungkus dadah.

“Esoknya, satu lagi kondominium mewah yang turut disewa suspek turut diserbu dan menemui dua paket plastik berisi dadah disyaki ketamin seberat 14.14 gram.

“Tidak cukup dengan dua ‘port’ itu, suspek kemudian membawa pasukan serbuan ke sebuah kereta Toyota Yaris yang ditinggalkan dalam keadaan berkunci di kawasan letak kereta awam berhampiran Sabah Art Gallery Outdoor Artspace,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Dataran Kawad, hari ini.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui satu beg bagasi dan sebuah kotak yang mengandungi 12.7 kilogram dadah jenis syabu.

“Turut dirampas dadah jenis ketamin seberat 6.9 kilogram, 25 peket jus ekstasi dan 10 biji pil ekstasi. Jumlah rampasan dadah dianggarkan bernilai RM960,000.

“Selain itu, polis turut menyita dua kenderaan mewah jenis Toyota Hilux, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM1.23 juta,” katanya.

Jauteh menunjukkan bungkusan peket jus ekstasi yang dirampas dan beberapa jenis dadah lain susulan penahanan seorang lelaki disyaki ahli sindiket pengedaran dadah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai membawa masuk bekalan dadah ke negeri ini menggunakan laluan udara sebelum diseludup keluar ke negara jiran.

“Bekalan dadah yang dirampas ini mampu menampung lebih 100,000 kali kegunaan penagih,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah yang terbabit dalam sindiket berkenaan.

“Saringan awal air kencing suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, namun dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek kini ditahan reman bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – Info X