Search

ORANG AWAM DIGESA BERI MAKLUMAT LENGKAP KETIKA MEMBUAT PANGGILAN KECEMASAN

May 9, 2022

admin

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) meminta orang awam memberikan maklumat lengkap sewaktu membuat panggilan kecemasan bagi memastikan pihak ‘responder’ di hospital di sekitar negeri ini dapat bertindak dengan kadar segera.

Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, pihaknya sentiasa komited memastikan kualiti perkhidmatan serta penyampaian rawatan berada pada tahap terbaik.

“Mengenai isu kelewatan ambulans yang dibangkitkan dalam sebuah akhbar tempatan pada 5 Mei lalu, kita sudah membuat siasatan termasuklah meneliti data masa sebenar di pangkalan data Malaysia Emergency Response Services 999 (MERS 999).

“Hasil penelitian, kita mendapati panggilan kecemasan 999 ada menerima panggilan telefon pada masa 12.06 tengah hari daripada seorang pemanggil.

“Bagaimanapun, talian itu terputus semasa proses penyambungan daripada MERS 999 Regional Center (Regional Center) ke Medical Emergency Call Center Hospital Queen Elizabeth (MECC) untuk proses verifikasi kes dan mendapat maklumat lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rose Nani memaklumkan sebanyak enam cubaan panggilan semula kepada pemanggil sudah dibuat oleh Regional Center dan MECC bermula jam 12.07 tengah hari hingga 12.19 tengah hari namun pemanggil tidak dapat dihubungi semula menyebabkan ambulans tidak dapat diaktifkan ekoran maklumat lokasi yang tidak jelas.

“MERS 999 kemudiannya menerima panggilan kedua daripada pemanggil lain dengan maklumat lengkap telah diperoleh pada 13.01 tengah hari.

“Pasukan responder dari Hospital Queen Elizabeth 2 telah diaktifkan pada 13.04 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian pada 13.16 tengah hari.

“Setibanya di tempat kejadian, pasukan responder mendapati seorang pesakit berusia 54 tahun tidak mempunyai tanda-tanda hidup dan pengesahan kematian dibuat oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya. – Info X