BELURAN: Padah memiliki senjata api buatan sendiri, seorang lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Wasai, Telupid, Khamis lalu.
Dalam operasi kira-kira jam 10 pagi itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menyerbu rumah berkenaan hasil risikan dan maklumat awam.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dua laras senjata api dipercayai buatan sendiri.
“Dalam serbuan itu, polis menemui dua laras senjata api buatan sendiri iaitu senapang patah jenis ‘bakakuk’ dan satu lagi dikenali sebagai senapang guli.
“Suspek berusia 39 tahun itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa kebenaran.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memiliki, membuat atau menyimpan sebarang senjata api buatan sendiri kerana ia satu kesalahan serius.
“Polis tidak akan berkompromi dan akan terus mempergiatkan operasi serta pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras pemilikan senjata api secara haram,” katanya. – Info X