Search

Cubaan seludup 17,000 liter diesel gagal

July 12, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Cubaan seorang lelaki menyeludup 17,000 liter minyak diesel bersubsidi menggunakan lori tangki gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan Felda Umas, di sini, malam tadi.

Serbuan menerusi operasi khas jam 10.40 malam itu, PPM turut merampas minyak diesel dan sebuah lori tangki yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM296,550.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam mengenai aktiviti penyeludupan bahan api subsidi di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas lori tangki itu menemui bahan api diesel disimpan dalam tangki utama dan pemandunya gagal mengemukakan sebarang dokumen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua rampasan diserahkan kepada pihak KPDN untuk tindakan lanjut.

“PPM Wilayah Empat Sabah komited untuk terus membanteras kegiatan penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya. – Info X