Search

PRN17: Sabah berwajah baharu jika GRS terus diberi mandat – Hajiji

July 12, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Sabah bakal berubah wajah menjadi sebuah negeri yang lebih maju, makmur, aman dan sentosa jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata selama hampir lima tahun memimpin Kerajaan Negeri, pelbagai pencapaian penting dicapai, termasuk pemulihan ekonomi negeri dan peningkatan pelaburan serta hasil kerajaan negeri secara signifikan.

“Ketika kita mengambil alih pentadbiran negeri pada September 2020, Sabah berdepan situasi ekonomi paling buruk dalam sejarah.

“Namun, dengan perancangan teliti dan pelaksanaan Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kita bukan saja berjaya memulihkannya, malah melonjakkan prestasi ekonomi negeri ke tahap yang amat membanggakan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata demikian ketika menyempurnakan penutupan Konvensyen PBS-STAR 2025 di Hongkod Koisaan KDCA, di sini, pada Sabtu.

Hajiji berkata, antara pencapaian utama kerajaan GRS termasuk Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah yang meningkat kepada RM84.3 bilion pada 2024, berbanding RM83.2 bilion pada 2023.

“Kutipan hasil negeri selama tiga tahun berturut-turut iaitu 2022, 2023 dan 2024 hampir mencecah RM7 bilion, berbanding hanya RM3.59 bilion pada 2020, manakala Rizab Kerajaan Negeri kini mencecah RM8.6 bilion.

“Pelaburan domestik dan asing yang berjaya dibawa masuk ke Sabah sejak 2021 pula berjumlah RM35.38 bilion. Semua ini adalah petunjuk ekonomi yang sihat dan bukti keupayaan serta kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan GRS.

“Tiada siapa yang boleh menafikan. Hanya pembangkang saja yang memilih untuk menutup mata dan menafikan fakta-fakta ini,” katanya.

Jelasnya, GRS bukan saja berupaya menjana kemajuan ekonomi, malah turut komited dalam menyempurnakan pembangunan infrastruktur asas, membasmi kemiskinan tegar dan mensejahterakan kehidupan rakyat seluruhnya.

“InsyaAllah, jika GRS terus diberi mandat dalam pilihan raya akan datang, kita akan pastikan semua rancangan pembangunan yang telah dirangka dapat dilaksanakan sepenuhnya, dari bandar hingga ke pedalaman,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa dasar Hala Tuju SMJ bukan sekadar dokumen, tetapi satu pelan strategik jangka panjang yang menyeluruh merangkumi pembangunan sumber manusia, pengurusan hasil bumi dan kecekapan pentadbiran.

“Dengan iltizam politik yang kuat, ditambah dengan iklim ekonomi yang semakin baik serta kestabilan politik yang kita sama-sama perjuangkan sejak 2020, saya yakin Sabah akan melangkah jauh ke hadapan sebagai negeri yang maju, aman dan makmur,” katanya.

Hajiji berkata, kejayaan pentadbiran GRS menyebabkan pihak pembangkang tidak senang dan berterusan melakukan serangan politik bersifat destruktif, termasuk penyebaran dakyah palsu, penipuan dan fitnah terhadap kerajaan serta pemimpin-pemimpinnya.

“Mereka tidak akan berhenti. Mereka cemburu dan iri hati terhadap kejayaan yang kita capai. Mereka mahu melihat kita gagal, lemah dan jatuh.

“Justeru, saya ingatkan, rumah kita, kita jaga. GRS ini rumah kita, tempat kita berlindung dan mengatur perjuangan. Kalau bukan kita sendiri yang menjaganya, siapa lagi yang boleh kita harapkan?” katanya. – Info X