PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata hasrat ahli dan pemimpin parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mahu gabungan parti itu bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan dibincangkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi GRS untuk dibincang sebelum sebarang keputusan diambil.
“Kita akan putuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan Konvensyen Bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), di Hongkod Koisaan, di sini, pada Sabtu.
Pengerusi GRS itu ditanya mengenai sentimen ahli dan penyokong PBS-STAR yang mahu agar GRS bertanding secara solo pada PRN17 nanti.
Sementara itu, Hajiji menyifatkan sokongan ahli dan penyokong parti komponen GRS terhadap perkara itu sebagai gambaran perpaduan dan semangat parti tempatan untuk menghadapi PRN17.
“Ini satu petanda yang cukup baik bagi perpaduan dalam GRS dan semangat parti tempatan ini begitu tinggi sekali untuk menghadapi pilihan raya yang tidak lama lagi,” katanya.
Mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Hajiji belun mahu mendedahkan bila beliau membuat keputusan mengenai perkara itu.
Beliau juga tidak menjawab sama ada akan membiarkan tempoh DUN sekarang berakhir sendiri supaya kerajaan pimpinannya dapat memerintah selama kira-kira empat bulan lagi.
“Jangan tanya itu, kami fikirlah nanti, sebarang keputusan mesti dibuat melalui Majlis Tertinggi GRS. Bila saya mahu bubar, saya akan beritahu semua presiden parti untuk diputuskan secara konsensus.
“Walaupun ia adalah prerogatif Ketua Menteri untuk menasihati Yang di-Pertua Negeri, tapi kita tidak mahu belakangkan kawan-kawan,” katanya. – Info X