Search

Penunggang motosikal maut, pemandu kereta lari

July 12, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kampung Lok Batik, Jalan Sulaman, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss bersama Perodua Kembara dipercayai dirempuh sebuah kereta Proton Iswara.

Katanya, pemandu Proton Iswara kemudian melarikan diri sejurus selepas kemalangan dan meninggalkan kereta terbabit di hadapan sebuah rumah tidak beralamat, kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tuaran untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan beberapa individu telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis sedang giat mengesan pemandu Proton Iswara terbabit yang melarikan diri selepas kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, Inspektor Haffiz di talian 011-61600964 atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Noraidin menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhemah dan mematuhi undang-undang demi keselamatan bersama. – Info X