Search

Buaya 1.5 meter ‘singgah’ halaman rumah

July 13, 2025

Info X Reporters

BEAUFORT: Seorang penduduk di Kampung Lajau, di sini terkejut apabila seekor buaya sepanjang 1.5 meter muncul di halaman rumahnya, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.25 tengah malam itu, pemilik rumah berkenaan segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas ternampak reptilia berkenaan di kawasan rumahnya.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Beaufort, Kapten (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata, sebaik menerima laporan itu, sepasukan anggota dari skuad Charlie dikerahkan ke lokasi menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 12.50 tengah malam, tiga anggota lengkap memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) kemudian memulakan operasi menangkap buaya berkenaan.

“Buaya air masin berkenaan berjaya ditangkap kira-kira jam 1.08 pagi. Ia dianggarkan seberat 20 kilogram dan sepanjang 1.5 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota APM Beaufort menangkap seekor buaya di Kampung Lajau, Beaufort.

Menurutnya, reptilia itu kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Beaufort sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL)Sabah untuk tindakan lanjut.

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.25 pagi,” katanya. – Info X