Search

60,434 pengguna di Sabah, Labuan nikmati bekalan elektrik lebih stabil – PETRA

July 14, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 60,434 pengguna di Sabah dan Labuan akan menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil dan efisien hasil pelaksanaan tujuh projek tenaga oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata keseluruhan tujuh projek itu bernilai lebih RM260.74 juta.

“Ia membabitkan kerja naik taraf pencawang, sambungan talian grid baharu dan sistem pemantauan keselamatan bagi menjamin bekalan elektrik yang lebih diyakini merangkumi kawasan Tanjung Aru hingga ke Ranau, Batu Sapi dan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Terdahulu beliau yang juga Menteri PETRA menyempurnakan sesi penyerahan tujuh projek sektor tenaga ketika kunjungan PETRA Skuad Sabah 2025 ke Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV Kota Kinabalu (KKBU) yang juga antara projek penting di bawah Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES).

Projek PMU KKBU adalah inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) yang kini memberi manfaat kepada kira-kira 11,452 pengguna di kawasan Tanjung Aru dan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

“Projek ini membabitkan pembinaan sebuah bangunan yang menempatkan kelengkapan suis berpenebat gas 132kV dan 33kV (GIS), serta transformer 132/33/11kV bagi menggantikan sistem lama 66/11kV yang telah lapuk dan tiada alat ganti.

“Penyiapan projek ini turut menyokong pembinaan jajaran kabel 33kV baharu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik ke kawasan strategik itu,” katanya.

Beliau berkata, enam lagi projek di bawah PPKBES yang berjaya disiapkan ialah Projek Sambungtara 132kV Labuan–Sipitang (Fasa 1: Naik taraf PMU Beaufort ke 275kV) – Pakej dua yang bernilai RM34.92 juta, melibatkan pembinaan menara talian 275kV sepanjang tujuh kilometer dari PMU Mengalong ke sempadan Sidumin, Sabah ke Lawas, Sarawak.

Projek itu, katanya disiapkan sepenuhnya pada 2 September 2024 dan sedang menunggu penyiapan projek oleh Sarawak Energy yang dijadualkan pada September 2025.

“Setelah siap, projek ini akan membolehkan sebanyak 30MW tenaga diimport dari Sarawak untuk kegunaan pengguna di Sipitang.

“Grid ini direka untuk membawa kapasiti penghantaran sehingga 500MW, menjadikannya antara infrastruktur penting dalam jaringan utama ASEAN Power Grid yang menghubungkan Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Filipina bagi perkongsian tenaga rentas sempadan berdaya harap dan mampan,” katanya.

Seterusnya, beliau berkata Projek Pembahagi Utama (PPU) 33/11kV Ranau bernilai RM31.3 juta yang mula beroperasi pada 11 Januari 2024 dan siap sepenuhnya pada 15 Mac 2024, membolehkan kawasan Ranau disambungkan kepada grid elektrik Sabah, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada stesen janakuasa diesel berkapasiti 18MW PPU Ranau.

Dengan itu, jelasnya penggunaan stesen janakuasa tidak lagi diperlukan sepanjang masa, seterusnya memberikan persekitaran yang lebih bersih dan mengurangkan subsidi diesel kepada 15,620 pengguna.

“Projek PPU Batu Sapi pula merupakan projek penting bagi menangani isu sistem lama dengan nilai RM30.02 juta. Dengan PPU baharu mula beroperasi pada 13 Disember 2024, agihan kuasa dari Stesen Janakuasa Batu Sapi menjadi lebih berkesan ke kawasan berhampiran.

“Ini seterusnya mengukuhkan sistem pembahagian 33kV dan 11kV di sekitar Bandar Sandakan, termasuk Karamunting, Bokara dan Kampung Istimewa. Justeru, ia memberikan manfaat kepada seramai 4,744 pengguna.

“Selain itu, Projek Protection On-Line Monitoring pula melibatkan kerja-kerja komunikasi dan penaiktarafan geganti perlindungan dengan kos sebanyak RM42 juta, merangkumi pemasangan kabel gentian optik dasar laut sepanjang 15 kilometer dari Kampung Lambidan di Menumbok ke Tanjung Aru, Labuan.

“Projek yang siap pada 5 Februari 2024 ini telah memperkukuh sistem perlindungan talian PMU Beaufort ke PMU Rancha-Rancha di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Fadillah berkata, bagi Projek PMU 132/33/11kV Universiti Malaysia Sabah (UMS) bernilai RM50.011 juta, ia mula beroperasi sepenuhnya pada 12 Ogos 2024 dengan berjaya meningkatkan kapasiti beban dari 93.51MW kepada 131.60MW di kawasan UMS.

Katanya, selain mengurangkan indeks gangguan bekalan (SAIDI) di kawasan sekitar, ia turut meningkatkan sistem retikulasi 33kV bagi kawasan Sulaman dan Alamesra.

“Seramai lebih 5,000 pengguna menerima manfaat secara langsung daripada penyiapan projek ini dan PMU ini juga kini bersedia untukmenerima beban tambahan termasuk dari Hospital UMS.

“Akhir sekali, Sistem Pengukuhan 11kV Labuan yang bernilai RM6.3 juta yang telah siap pada 9 November 2024 adalah melibatkan kerja-kerjapenaiktarafan sistem perlindungan di PPU Rancha-Rancha serta meningkatkan keupayaan sistem untuk menyokong pembangunan baharu di kawasan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan projek-projek PETRA menerus PPKBES telah memperkukuh infrastruktur penghantaran dan pembahagian elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan serta menjamin penyampaian
perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada pengguna di seluruh kawasan terbabit.

“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, penyiapan projek-projek di bawah PETRA justeru membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh infrastruktur tenaga di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya. – Info X