Search

PRN17: Bergabung atau solo, GRS pasti bertembung dengan BN – Masiung

July 15, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pasti bertembung dengan Barisan Nasional (BN) tidak kira bertanding solo atau bergabung dengan parti nasional pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Menjelaskan perkara itu, Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah, berkata pertembungan itu pasti akan berlaku.

“Pertembungan dengan UMNO BN pasti akan berlaku pada PRN17 nanti,” katanya ketika lawatan ke pejabat Gagasan Rakyat Bahagian Sukau, di Bandar Maju, di sini, pada Isnin.

Masiung yang juga Pengerusi Penyelaras Gagasan Rakyat Zon 10, mengadakan lawatan bersama timbalannya, Datuk George Hiew Vun Zin yang juga ADUN Karamunting berhubung persiapan jentera PRN17 bagi kawasan Sukau.

Sementara itu, Masiung mengingatkan pemimpin dan jentera Gagasan Rakyat di peringkat bahagian supaya tidak membuat kesimpulan sendiri sama ada GRS bergerak solo atau bergabung dengan parti nasional.

“Sama ada GRS bergabung dengan parti nasional atau bergerak secara solo, biarlah pucuk pimpinan parti yang membuat keputusan,” katanya.

Mengenai peluang GRS di kerusi DUN Sukau, beliau menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan calon gabungan itu untuk membuat kejutan.

“Walaupun kita bertanding secara ‘underdog’ di Sukau, namun saya percaya persiapan terperinci jentera Gagasan Rakyat Sukau mampu mencipta keputusan mengejutkan pada PRN17.

“Saya berpesan kepada pimpinan Gagasan Rakyat di peringkat bahagian supaya jangan terlalu yakin dengan laporan di atas kertas. Sebaliknya pemimpin kanan wajar turun ke lapangan dan melihat sendiri keadaan yang berlaku,” katanya.

Masiung berkata, sayap utama Pemuda, Wanita dan Beliawanis perlu menangkis tohmahan dan fitnah yang dicanangkan pembangkang.

Katanya, menjelang PRN17, pelbagai dakyah pembangkang dijangka muncul berikutan keengganan mereka menerima kelebihan kerajaan GRS yang tidak pernah berlaku ketika parti pembangkang menjadi kerajaan sebelum ini.

“Meskipun berulang kali naratif kerajaan gagal dilaungkan pemimpin pembangkang di Sabah tetapi rekod rasmi kerajaan GRS menceritakan sebaliknya.

“Hasil ekonomi kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meningkat saban tahun dan sehingga kini mencecah hampir RM10 bilion,” katanya.

ADUN Kuamut itu berkata, lonjakan kutipan hasil ekonomi Sabah yang terbaharu adalah satu sejarah dan tidak pernah dicipta oleh mana-mana kerajaan di Sabah sebelum ini termasuk BN dan Warisan. – Info X