Search

Sindiket CPO tumpas, 26 ditahan, rampasan cecah RM11.8 juta

July 15, 2025

Info X Reporters

Kota Kinabalu: Rangkaian penyeludupan minyak sawit mentah (CPO) yang giat beroperasi di sekitar kawasan pantai barat dan timur Sabah akhirnya tumpas selepas beberapa siri serbuan dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah sejak Januari lalu.

Hasil operasi khas dikenali Op Kontraban (Op Taring Palma) itu, seramai 26 individu ditahan terdiri daripada 21 lelaki tempatan, empat warga Filipina dan seorang warga Indonesia.

Komander Briged Sabah PGA Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Rani Alias berkata, operasi bersepadu itu membabitkan kekuatan dari pelbagai batalion dalam usaha membanteras dan menyekat aktiviti penyeludupan berkenaan.

“Operasi ini membabitkan batalion iaitu BN14 Tawau, BN15 Sandakan, BN16 Kota Kinabalu, BN17 Lahad Datu, BN20 Beluran, BN21 Keningau dan BN22 Kunak.

“Sebanyak lapan serbuan dijalankan sejak 1 Januari hingga semalam dan berjaya membongkar aktiviti penyeludupan yang disyaki dijalankan tanpa lesen sah serta gagal mengemukakan dokumen penyimpanan minyak sawit mentah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk cukai dianggarkan mencecah RM11.87 juta, membabitkan pelbagai aset seperti minyak sawit mentah, lori dan treler serta peralatan lain.

“Rampasan termasuk CPO bernilai RM1,897,385.68, kenderaan darat (lori/treler) RM9,323,000, dan lain-lain peralatan bernilai RM650,890.

“Hasil operasi ini juga berjaya memutuskan rangkaian sindiket pengedaran dan penyeludupan CPO kerana gagal mengemukakan lesen dan tiada lesen yang sah bagi menyimpan CPO beserta isurung di kawasan pantai barat dan timur negeri ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan terus menjalankan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam dengan penuh profesionalisme demi kesejahteraan rakyat.

“Orang awam juga diharapkan supaya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan penyeludupan di kawasan masing-masing.

“Kerjasama masyarakat amat penting untuk memastikan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana elemen aktiviti haram penyeludupan,” katanya. – Info X