KOTA KINABALU: Melihat kanak-kanak lain ke sekolah setiap hari membuatkan anak tanpa dokumen di Kampung Sembulan, di sini, cemburu kerana tidak ‘layak’ bersekolah disebabkan status mereka.
Bagi mereka, walaupun sekolah hanya sejauh beberapa meter atau puluh meter dari rumah, ia umpama tempat yang jauh disebabkan hanya mampu melihat rakan sebaya beramai-ramai ke sekolah setiap hari.
Mereka pula hanya menghabiskan masa bermain di sekitar rumah dan kampung, berkeliaran di sekitar pekan Sembulan atau di Sadong Jaya, Karamunsing, selain membantu ibu bapa bekerja untuk menampung kewangan keluarga walaupun pada usia yang masih amat muda.

Itu antara nasib kanak-kanak tanpa dokumen di Kampung Sembulan, di sini, yang turut membuatkan ibu bapa mereka terkilan dan sedih atas nasib anak yang umpama ‘tiada masa depan’ kerana tercicir daripada pendidikan.
Sebagai ibu bapa, mereka memang mahu anak-anak dapat menikmati alam persekolahan untuk menimba ilmu sebagai bekalan diri pada masa depan dan membantu keluarga yang rata-ratanya bergantung harap kepada hasil bekerja sendiri, bekerja kontrak, buruh atau nelayan.
Cuma kelalaian dan kealpaan mereka yang tidak mengurus dokumen pengenalan diri anak sejak bayi disebabkan salah seorang ibu atau bapa berstatus tanpa dokumen atau bukan warga negara menyebabkan anak mereka menjadi mangsa.
Dengan status ekonomi keluarga dalam kategori miskin atau B40 menyukarkan lagi mereka mengurus dokumentasi anak walaupun pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dekat Wisma MUIS, hanya kira-kira 20 minit berjalan kaki dari Kampung Sembulan.
Seorang bapa, Jauri Latif, 35, mengakui pendidikan sangat penting untuk masa depan dan beliau mahu anaknya yang berdepan masalah dokumentasi juga dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain di Kampung Sembulan.

“Kami memang mahu anak-anak bersekolah untuk masa depan mereka tetapi disebabkan masalah dokumen, kita menghadapi kesukaran untuk menghantar anak ke sekolah,” katanya.
Namun, harapan mereka untuk melihat anak dapat ke sekolah belum punah kerana sejak 2023 yang lalu, satu inisiatif dinamakan program Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) dilaksanakan Kementerian Pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, di sini.
Inisiatif yang disasar untuk kanak-kanak jalanan dan tanpa dokumen itu menekankan pendidikan asas membaca, menulis dan mengira atau 3M, di samping membantu menyelesaikan isu dokumentasi kanak-kanak yang menyertainya.
SBJK di SK Sembulan itu adalah program SBJK yang kedua di seluruh negara selepas program sama di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disasar kepada anak-anak gelandangan di sekitar ibu negara.

Walaupun disebut ditawarkan kepada kanak-kanak tanpa dokumen, inisiatif itu bagaimanapun hanya untuk kanak-kanak yang mana salah seorang ibu atau bapa mereka memiliki dokumen pengenalan diri sah dan bertaraf warga negara, bukan yang kedua-duanya berstatus tanpa dokumen.
Ibu bapa berstatus penduduk tetap atau pemegang kad pengenalan merah juga tidak layak memohon SBJK untuk anak mereka kerana mereka boleh menghantar anak ke sekolah arus perdana seperti kanak-kanak warga negara dengan syarat tertentu.
Selain itu, ibu bapa juga perlu membuktikan status kelahiran anak mereka di Sabah berdasarkan buku klinik ketika ibu mengandung atau dokumen berkaitan, selain pengesahan Ketua Kampung bagi memperakui kanak-kanak dan ibu bapa terbabit adalah penduduk di kampung berkenaan.
Jauri yang turut memohon untuk anaknya mengikuti SBJK di SK Sembulan, menyifatkan inisiatif itu umpama penyambung harapan bagi anaknya dan anak lain yang senasib memasuki alam persekolahan, walaupun tidak sama dengan sekolah arus perdana.

“Bagi saya inisiatif ini adalah usaha baik kerajaan untuk membantu golongan seperti kami yang berdepan masalah dokumentasi anak-anak. Jadi, SBJK adalah peluang dan harapan untuk kami menyekolahkan anak-anak,” katanya.
Ibu bapa di Kampung Sembulan juga beruntung dengan adanya Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SK Sembulan dari kampung itu sendiri, selain Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah yang sentiasa mendekati mereka, memujuk dan menjelaskan kepentingan pendidikan kepada anak-anak mereka yang tercicir dalam pendidikan.
Yang Dipertua PIBG SK Sembulan, Salleh Dualin, 44, berkata hasil usaha yang dilaksanakan pihaknya, seramai 35 kanak-kanak tanpa dokumen dengan salah seorang ibu bapa memiliki dokumen sah dikenal pasti di sekitar Kampung Sembulan ketika program SBJK itu mula-mula dilaksanakan pada 2023.

Daripada jumlah itu, katanya seramai 19 orang sudah mengikuti kelas bimbingan di SBJK SK Sembulan, manakala bakinya dijejaki semula pada Isnin menerusi aktiviti turun padang pegawai Jabatan Pendidikan dan Pengerusi PIBKS Sabah, Datuk Mohd Arif Tun Sakaran bersama Guru Besar dan pendidik SK Sembulan.
Salleh berkata, seramai 15 kanak-kanak tercicir sekolah akibat ketiadaan dokumen pengenalan, khususnya sijil lahir dijejaki menerusi aktiviti itu yang dilaksanakan di Kampung Sembulan Lama.
“Seramai 15 lagi kanak-kanak dijejaki agar mereka juga boleh bersekolah di SBJK.
“Selepas ini, kita juga akan ke Kampung Tanjung Aru dan Sempelang bagi mengesan kanak-kanak bermasalah di kawasan itu pula supaya boleh turut belajar di SBJK SK Sembulan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Arif menyifatkan usaha menjejaki kanak-kanak tercicir pendidikan akibat ketiadaan dokumen di Kampung Sembulan penting bagi memastikan mereka dapat dibantu untuk menjalani alam persekolahan seperti kanak-kanak lain.
Katanya, ia bagi memastikan program SBJK di Sembulan yang dilancarkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada 2023 dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh ibu bapa yang berdepan masalah dokumentasi anak-anak.

Jelasnya, walaupun sudah disertai 19 murid sejak 2023, program itu yang memberi peluang pendidikan asas kepada kanak-kanak tanpa dokumen lengkap masih terbuka kepada kanak-kanak lain.
“Program ini bagi memastikan kanak-kanak yang tercicir dalam pendidikan, khususnya di Sembulan ini dapat bersekolah di SBJK yang membolehkan mereka mengikuti pembelajaran walaupun tiada dokumen, asalkan ibu atau bapa adalah warga negara dan ada dokumen sah.
“Jadi hari ini, saya bersama pegawai dari Jabatan Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Ketua Kampung dan Yang Dipertua PIBG SK Sembulan turun padang menjejaki kanak-kanak tidak bersekolah di kawasan ini,” katanya ditemui pada program menjejaki kanak-kanak tercicir sekolah di Kampung Sembulan Lama, pada Isnin.
Pada program itu, kanak-kanak tanpa dokumen yang berjaya dijejaki diambil maklumat bersama ibu bapa masing-masing untuk disaring sebelum diberi tawaran mengikuti pembelajaran di SBJK SK Sembulan.
Mohd Arif berkata, program itu mendapat sambutan yang baik daripada ibu bapa berdasarkan bilangan yang tampil menghantar anak mengikuti program berkenaan.
“Kalau kita lihat di kawasan Sembulan ini, dari program pertama, kedua sebelum ini dan sekarang yang ketiga, alhamdulillah sambutan cukup baik hasil kerjasama PIBKS dan komuniti kampung.
“Bagaimanapun, kita perlu juga memastikan data yang dikumpul itu dibuat tapisan kerana kita inginkan kanak-kanak yang masuk ke SBJK ini adalah warga tempatan yang tidak bersekolah kerana masalah dokumen,” katanya.
Beliau berkata, selama mengikuti pendidikan di SBJK, kanak-kanak terbabit akan dibantu mendapatkan dokumen pengenalan diri dengan kerjasama ibu bapa supaya boleh dimasukkan ke sekolah arus perdana. – Info X