Search

Nelayan hilang, kesan gigitan buaya di badan perahu

July 15, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang nelayan dipercayai menjadi mangsa serangan buaya selepas hanya perahunya ditemui dengan kesan gigitan dalam kejadian di sungai berhampiran Taman Kenari, Batu 7, di sini, petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Obing Markum, 30-an, dari Kampung Batu Putih, dipercayai turun ke sungai berkenaan untuk menjala ikan, kira-kira jam 4 petang.

Namun, kira-kira jam 6 petang, penduduk kampung hanya menemui perahu mangsa dalam keadaan mencurigakan dengan kesan gigitan buaya di bahagian tepinya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis pada jam 8.50 pagi tadi sebelum sepasukan lima anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan namun sehingga kini mangsa masih belum ditemui.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Difahamkan, kawasan itu pernah mencatat beberapa insiden serangan buaya sebelum ini.

Kejadian terakhir direkodkan pada September 2022, membabitkan seorang lelaki yang disambar reptilia ganas itu ketika menyeberangi sungai menggunakan rakit buatan sendiri. – Info X