KINABATANGAN: UMNO Sabah mencabar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) seperti dimahukan sebahagian besar pemimpin parti komponennya.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata jika gabungan yang menerajui kerajaan negeri itu merasakan dirinya kuat, maka tidak sukar untuk GRS membuat keputusan.
“Kalau kukuh buatlah keputusan, bukan susahpun, tapi parti yang terlibat saya lihat PBS, STAR, manakala parti yang kecil saya rasa tidaklah masuk ‘book’,” katanya.
Beliau ditemui pada program Radu Tatap Radu BN Sabah di Kampung Nusa Jaya, di sini, pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu ditanya mengenai gesaan parti komponen GRS, khususnya PBS dan STAR yang mahu GRS bertanding secara solo pada PRN17 nanti.
Bung Moktar berkata, bagi dirinya beliau berterus terang tiada keyakinan terhadap GRS dan tidak mempercayai gabungan parti tempatan itu.
Beliau menegaskan tidak akan berunding dengan gabungan itu, khususnya bagi membentuk kerjasama menghadapi PRN17.
“Saya tiada keyakinan dan saya tidak percaya GRS, pemimpinnya banyak penipu, banyak pengkhianat, bila suka lompat-lompat memang pengkhianat, rakyat pun dikhianati.
“Saya memang tiada rundingan lagi lah dengan GRS,” katanya.
Sementara itu, Bung Moktar berkata UMNO Sabah akan memilih calon yang terbaik dan diterima rakyat di kawasan masing-masing pada PRN17 nanti.
“Kita akan pilih calon yang terbaik yang diterima rakyat di kawasan masing-masing. Saya tidak akan pilih calon walaupun kawan, tapi tidak boleh ‘deliver’.
“Saya dan Datuk Seri Salleh selaku pengarah pilihan raya, kita akan menilai sejauh mana keupayaan calon kita,” katanya.
Bung Moktar turut mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Lamag yang dimenanginya pada PRN15 lalu. – Info X