TAWAU: Cemas seketika di lampu isyarat Batu 3, Jalan Apas, di sini apabila seorang lelaki nekad merempuh kenderaan polis ketika cuba meloloskan diri selepas dikesan membawa dadah, semalam.
Dalam kejadian jam 1.45 petang itu, suspek bersama seorang lagi rakan bertindak melarikan diri selepas menyedari diekori polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang menjalankan Op Tapis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak agresif merempuh kenderaan polis dan beberapa kenderaan orang awam ketika cuba disekat.
“Suspek terus memecut secara melulu hingga ke lampu isyarat Jalan Apas dan melanggar beberapa kenderaan awam sepanjang laluan.
“Kedua-duanya berjaya ditahan selepas kenderaan mereka dikepung di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui beg kain di bawah brek tangan mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 5.13 gram bernilai kira-kira RM400.
“Kedua-dua suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan seorang warga asing berusia 18 tahun turut didapati positif amphetamine dan methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan usaha mengesan individu lain masih diteruskan,” katanya.
Kejadian itu turut tular di media sosial selepas dirakam orang awam dan menarik perhatian ramai susulan aksi berbahaya yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Sementara itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak melindungi atau bersekongkol dengan mana-mana pengedar dadah, serta menyeru kerjasama semua pihak untuk menyalurkan maklumat berhubung aktiviti jenayah atau dadah melalui saluran rasmi polis.
“Kerjasama orang awam amat penting dalam membantu pihak polis membanteras jenayau, khususnya pengedaran dadah yang menjadi ancaman utama kepada keselamatan komuniti.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke IPD Tawau atau melalui talian hotline Polis Daerah Tawau di talian 089-772121 yang beroperasi 24 jam atau melalui aplikasi VSP,” katanya. – Info X