Search

Tiada lanjutan masa kepada kontraktor Pan Borneo, kerja mesti siap ikut jadual – Ahmad Maslan

July 15, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Kementerian Kerja Raya tidak memberi lanjutan masa (EOT) kepada mana-mana kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi pelaksanaan Pakej 1B yang bermula akhir tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelewatan pelaksanaan projek itu, setelah Pakej 1A sebelum ini menyaksikan terlalu banyak EOT.

“Tindakan ini diambil selepas mengambil kira kelewatan ketara yang berlaku pada Pakej 1A sebelum ini, yang mana ada kontraktor diberikan empat hingga lima kali EOT.

“Saya sudah menerima taklimat Pakej 1A dan 1B dan saya ingin menegaskan tiada lagi lanjutan masa diberikan kepada mana-mana kontraktor tanpa mengira apa alasan mereka,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau projek gantian bilik darjah dan kemudahan lain di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Lahad Datu, sempena lawatan kerjanya di daerah ini, pada Selasa.

Ahmad Maslan berkata, sebarang kelonggaran kepada mana-mana syarikat kontraktor akan menyebabkan syarikat lain turut meminta perkara yang sama.

Situasi itu, katanya menyebabkan keseluruhan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah terus tertangguh.

“Perkara inilah berlaku dalam Pakej 1A yang diberikan secara berperingkat sejak beberapa tahun lalu dengan kelewatan sehingga dua atau tiga tahun, malah ada yang lebih lama.

“Rakyat yang terpaksa menanggung derita kerana jalan tidak siap dan tidak diselenggara dengan baik,” katanya.

Pakej 1A katanya membabitkan 15 pakej kerja, manakala pakej 1B yang bermula akhir tahun lalu membabitkan sebanyak 19 pakej kerja.

Sementara itu, beliau menggesa semua kontraktor projek itu melaksanakan kerja lebih cepat dan jika disiapkan lebih awal (AOT), ia akan memberi keuntungan kepada kontraktor itu sendiri, kerajaan dan rakyat.

Sebagai contoh, katanya jika kos operasi sebulan mencecah RM300,000 dan projek siap tiga bulan lebih awal, syarikat terbabit dapat menjimatkan kos sebanyak RM900,000.

Beliau juga mengingatkan kontraktor supaya menyelenggara jalan raya yang terbabit dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo demi keselesaan pengguna kerana ia adalah sebahagian tanggungjawab mereka. – Info X