SEMPORNA: Helah empat lelaki warga asing menggunakan bot laju dan bergerak dalam gelap untuk menyeludup keluar barang kawalan di perairan Pulau Boheian, di sini, gagal apabila berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.
Dalam kejadian jam 1.10 pagi itu, dua bot dinaiki empat lelaki warga asing dikesan membawa minyak masak paket dan petrol yang disyaki cuba diseludup belum berjaya dirampas pihak berkuasa.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, kejadian berlaku ketika anggota bot ronda PPM Semporna menjalankan rondaan keselamatan di kawasan ‘hotspot’ sekitar perairan berkenaan.
“Pemeriksaan ke atas bot terbabit menemukan 680 kilogram minyak masak dalam paket berjenama tempatan serta 2,005 liter minyak petrol yang disyaki cuba diseludup.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk dua bot serta enjin berjumlah RM79,260.25,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, empat suspek warga asinh berusia antara 16 hingga 38 tahun itu turut ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki cuba menyeleweng barang kawalan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata rondaan keselamatan PPM bertujuan mencegah dan mengekang aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan dan jenayah maritim lain.
“PPM Wilayah Empat Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya. – Info X