LAHAD DATU: Satu Pertandingan Golf Amal Tertutup akan diadakan di Lahad Datu Golf Club & Country Club, di sini pada 20 Julai ini.
Pertandingan itu yang bertujuan mengumpul dana bagi membeli alat hemodalisis untuk membantu pesakit buah pinggang, disertai pelbagai wakil agensi kerajaan, swasta dan orang perseorangan dari seluruh negeri.
Pengerusi Penganjur yang juga Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos, berkata selain membeli alat hemodialisis, dana yang dikumpul juga digunakan untuk pelbagai tujuan kebajikan lain.
“Pertandingan ini diadakan khusus untuk mengumpul dana membeli peralatan hemodialisis dan menyokong pelbagai inisiatif kebajikan lain demi manfaat masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media khas yang diadakan di Club Golf Lahad Datu, pada Selasa.
Hadir sama Yang Dipertua ASEAN Chamber of Commerce & Industry (ACCI) Sabah Chapter, Datuk Nordin Ening bersama barisan Ahli Jawatankuasa Penganjur.
Victor berkata, acara itu akan turut diserikan dengan pertandingan Unduk Ngadau Golf Amal, persembahan artis jemputan dan pelbagai aktiviti menarik sepanjang hari. – Info X