Search

31 PATI ditahan di Ranau

July 17, 2025

Info X Reporters

RANAU: Seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan di lima lokasi di daerah ini, semalam.

Operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah membabitkan 18 pegawai dari Pejabat Imigresen Daerah Ranau.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, daripada 39 individu yang diperiksa, 31 ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen sah.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 18 lelaki dewasa, dua wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.

“Semua PATI dipercayai warga Filipina dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

PATI yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan di lima lokasi di Ranau.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“JIM Sabah menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melindungi atau menggaji PATI.

“Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat jika mengesan kehadiran PATI di kawasan mereka,” katanya. – Info X