Search

Urut tidak jadi, duit lesap, kena ugut lagi

July 16, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Tawaran khidmat urut di media sosial rupa-rupanya helah licik sindiket untuk memeras wang mangsa. Itu yang berlaku kepada seorang lelaki warga asing yang diperdaya sehingga kerugian ratusan ringgit sebelum tampil membuat laporan polis.

Kini, seorang wanita tempatan berusia 21 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan itu ditahan tengah hari tadi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, berkata wanita terbabit diberkas kira-kira jam 12.25 tengah hari di tepi jalan Kampung Titingan susulan siasatan yang dijalankan berdasarkan laporan polis terdahulu di IPD Gerik, Perak.

“Kes dilaporkan pada Februari lalu selepas mangsa, seorang lelaki warga asing berusia 41 tahun menghubungi seorang wanita yang menawarkan khidmat urut menerusi Google dan WhatsApp.

“Mangsa kemudian membuat bayaran pendahuluan RM100, namun wanita terbabit tidak muncul di lokasi dijanjikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa mula menerima ugutan daripada nombor tidak dikenali yang mendesaknya membayar RM500 lagi, bagi menyelesaikan pembatalan khidmat itu, jika tidak mahu orang dihantar untuk mencarinya atau dibunuh.

“Kerana bimbang keselamatan diri, mangsa membuat pemindahan wang ke salah satu akaun suspek melalui mesin ATM di Perak.

“Selepas desakan bayaran tambahan dibuat, mangsa menyedari dirinya telah diperdaya dan segera membuat laporan polis,” katanya.

Champin berkata, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan siasatan lanjut turut dijalankan bagi meneliti kemungkinan penglibatannya dengan sindiket penipuan siber.

“Semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Kami masih menyiasat sama ada terdapat rangkaian lain terlibat bersama suspek,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran perkhidmatan dalam talian yang meragukan, lebih-lebih lagi melibatkan transaksi tanpa pengesahan identiti.

“Jika menerima ugutan atau ancaman berkait bayaran dalam talian, segera buat laporan polis. Elakkan urusan pembayaran dengan individu tidak dikenali.

“Untuk sebarang maklumat berkaitan penipuan, orang awam boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 / 03-26101599,” katanya. – Info X